'Kami tak sampai hati nak gugurkan...' - Pasangan nekad jaga kandungan biarpun isteri jalani rawatan kimoterapi

loading...

Pasangan suami isteri tidak sanggup menggugurkan kandung anak pertama (tiga bulan) walaupun sudah dinasihatkan doktor akan risiko si ibu menjalani rawatan kimoterapi barah paru-paru tahap dua, selain mengalami masalah jantung berlubang. 

Difahamkan, Nur Khairunissaq Yazid, 28, hamil bayi kembar. Namun salah seorang bayinya gugur kerana menjalani rawatan tersebut. 

"Kami tidak sampai hati gugurkan kandungan walaupun satu janin kembar sudah keguguran selepas rawatan kimoterapi. Kami sedar risikonya, tetapi ini anak sulung kami," kata Mohd Araffi Mad Rodzi, suami kepada Nur Khairunissaq. 

Pasangan itu yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu itu berkata, tetap bernekad mahu bayi itu dilahirkan dan menganggap itu semua adalah ujian Allah SWT dan mereka perlu kuat menghadapi semua itu. 

Menurut Mohd Araffi, isterinya tidak mengetahui dirinya hamil dan hanya menyedari perkara itu selepas menjalani rawatan kimoterapi kali ketiga. Walaupun tugas menjaga isterinya agak sukar, dia tetap meneruskan dan tidak menganggap perkara itu sebagai bebanan, sebaliknya amanah yang perlu ditunaikan sebagai suami. 

Dia juga pasti, isterinya yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir itu kuat dan tabah menghadapi dugaan yang mendatang dan sebagai suami, dia akan terus memberi sokongan kepada pasangannya itu. 

"Isteri saya perlu menjalani pembedahan kerana jantungnya sudah membengkak. Doktor menasihatkan supaya menjalani pembedahan bagi injap jantung dengan anggaran kos RM98,000 yang dijangka pada Mei nanti. 

"Saya risau kerana isteri kerap demam yang mungkin akan menjejaskan bayi dalam kandungan. Pendapatan saya sekitar RM1,300 sebagai pemandu am tidak mampu menampung kos rawatan itu," katanya.

Sementara itu, Nur Khairunissaq berkata, dia reda dengan penyakit yang dihidapi dan akan sedaya upaya melawan barah paru-paru yang dikesan sejak 2013. 

"Selepas menjalani pembedahan pada 2016, barah ini sudah sembuh bagaimanapun, ia dikesan merebak semula pada Ogos tahun lalu. Saya terpaksa berulang alik dari rumah ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan selepas disahkan mengidap barah paru-paru tahap dua," katanya.

Meskipun dengan penyakit yang dihidapi, pasangan ini nekad mahu menjaga kandungan itu kerana ia merupakan anak sulung mereka sejak berkahwin tahun lalu. 

Sementara itu, Ketua Skuad Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) Kuala Lumpur, Azlina Arbain berkata, pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Baitulmal Kuala Lumpur bagi mendapatkan bantuan membiayai kos rawatan Nur Khairunissaq.

"KELSS tampil membantu kerana simpati dengan nasib wanita berkenaan. Selain bantuan Baitumal yang akan diproses nanti, kami akan melancarkan tabung membantunya," katanya.

Sumber: Harian Metro
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

LIKE,SHARE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close