Penjawat awam kumpulan terbesar ditahan atas kesalahan rasuah - SPRM Selangor

loading...



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini mendedahkan penjawat awam merupakan kumpulan terbesar ditahan bagi siasatan berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa antara 2018 dan 2022.


Pengarahnya, Alias Salim berkata, berdasarkan rekod, seramai 170 penjawat awam telah ditahan, diikuti 84 tangkapan melibatkan pekerja swasta, 50 orang awam dan masing-masing lima ahli politik serta individu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


“Sepanjang tempoh tersebut, 314 tangkapan yang dibuat sebelum ini menunjukkan tahun 2022 merekodkan tangkapan tertinggi, iaitu sebanyak 72 tangkapan, diikuti 2018 (66) dan 2021 (63).


“Daripada jumlah tangkapan itu, pihak kami telah membuka 269 kertas siasatan berkaitan kes rasuah dengan 135 pertuduhan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan.


Katanya, 2020 menunjukkan pembukaan kertas siasatan tertinggi sepanjang tempoh lima tahun tersebut, iaitu 64 kertas siasatan, diikuti 2019 (57) dan 2022 (50).


Dalam tempoh yang sama, katanya, SPRM Selangor telah menerima 1,764 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.


“Pada 2018, sebanyak 378 maklumat diterima, diikuti 2019 (344) dan 2022 (331). SPRM Selangor turut mencatatkan sitaan berjumlah RM366,845 selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM1,768,554.89,” katanya.


Katanya, selain daripada menjalankan siasatan berkaitan kes-kes rasuah di Selangor, badan itu turut melaksanakan tindakan pencegahan rasuah dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas amalan, sistem serta prosedur sektor awam dan swasta bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang rasuah.


Tambahnya, sepanjang tempoh tersebut, 406 ceramah khusus buat kumpulan sasar dengan 721 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.


Sumber: Bernama

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

LIKE,SHARE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close