'Sejak kes itu, ramai pelajar perempuan mengalami histeria dan gangguan'

loading...

Kisah misteri di sebuah institut pengajian tinggi di Sabah sekali lagi dimuat naik di media sosial dan menarik perhatian kami untuk mencari sumber ceritanya. Dari hasil carian di Google, beberapa laman menceritakan kisah kejadian yang sama mengenai 'Melati' yang didakwa telah membunuh diri di IPT berkenaan sekitar tahun 80-an akibat tertekan selepas ditinggalkan kekasihnya. 

Semenjak peristiwa itu, terlalu banyak gangguan yang dialami oleh pelajar perempuan sebelum pihak pengurusan IPT membuat keputusan untuk mengarahkan pelajar perempuan bertukar blok dengan pelajar lelaki. Bagaimanapun gangguan masih berulang dan kali ini pelajar lelaki pula yang diganggu dengan penampakan kelibat yang tidak sepatutnya.

Difahamkan, blok-blok berkenaan tidak lagi dihuni dan tidak dapat dipastikan sama ada bangunan berkenaan masih wujud atau sebaliknya. Selamat membaca. 

SEKITAR tahun 80-an di ketika UiTM masih dikenali sebagai Institut Teknologi Mara (ITM) pelajarnya masih ditempatkan di asrama lama yang terdiri daripada beberapa blok iaitu Blok Baiduri (B), Cempaka (C), Dahlia (D), Eksora (E) dan Rafflesia (F). 

Seorang pelajarnya bernama Melati ditempatkan di Blok C, yang merupakan blok para pelajar siswi. Melati seperti remaja sebaya dengannya menjalani kehidupan di ITM seperti biasa, sehinggalah dia terjatuh cinta dengan salah seorang pelajar lelaki di kampus berkenaan. 

Setelah sekian waktu menjalinkan hubungan cinta, Melati akhirnya ditinggalkan pasangannya. Perpisahan itu membuatkan dia tertekan dan kecewa, lalu nekad mengambil tindakan untuk membunuh diri dengan menggantung dirinya pada kain yang diikat pada kipas siling di aras 2 Blok C. 

Keadaan Melati hanya disedari para pelajar lain yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pihak IPT. Bagaimanapun sudah terlambat dan Melati telah disahkan meninggal dunia. 

Semenjak dari kejadian itu, pelbagai kisah-kisah yang tidak enak timbul di mana ada pelajar yang mendakwa mereka menerima gangguan yang dipercayai datang dari Melati. 

Di antara gangguan yang dikatakan kerap berlaku ialah:
  • pelajar perempuan sering mengalami histeria, 
  • ternampak kelibat perempuan berpakaian putih tanpa wajah berkeliaran di waktu malam, 
  • mengalami mimpi yang sama di mana mereka didatangi perempuan berpakaian putih, 
  • terasa seperti diekori ketika berjalan menggunakan jalan pintas ke asrama gymnasium pada waktu malam, 
  • tiba-tiba ada kehadiran orang yang tidak dikenali dalam bilik asrama, 
  • terdengar suara menangis dan mengilai,
  • terdengar suara memanggil nama dari tandas yang gelap/kosong, 
  • penampakan lembaga tidak berwajah menemani pelajar yang sedang mencuci pakaian berseorangan di waktu malam, 
  • pocong berdiri di tepi tangga menuju ke fasa akademik.

Bagaimanapun, terdapat pelbagai versi cerita mengenai Melati yang tersebar di media sosial dan salah satunya mendakwa Melati telah membunuh diri dengan mengelar tangannya sebelum bersembunyi dalam almari agar perbuatannya tidak diketahui sesiapa. 

Seperti yang didakwa berlakunya kejadian histeria di Blok B dan C, pihak pengurusan kemudian memindahkan pelajar perempuan ke Blok D, E dan F, manakala pelajar  lelaki pula di pindahkan ke Block B dan C. Pertukaran itu dibuat bagi mengelakkan kejadian histeria berulang. 

Lorong menuju ke blok asrama. Kiri adalah Blok Baiduri dan Dahlia, depan Blok Rafflesia, kanan Blok Cempaka dan Blok Eksora. - Foto Celupar
Medan Ilmu. Banyak aktiviti pelajar diadakan di sini dahulu. Gambar diambil pada tahun sekitar tahun 2014 atau 2015 dan ia kali terakhir dihuni pada awal tahun 2001. - Foto Celupar
Gelanggang sepaktakraw di tengah-tengah antara Blok B dengan Blok D (sebelah kanan). Pemandangan berbeza dengan Medan Ilmu. - Foto Celupar
Blok C yang didakwa dihuni oleh Melati. - Foto Celupar
Di setiap tandas dua blok berkenaan juga tidak mempunyai cermin. Pihak pengurusan telah membuka cermin berkenaan kerana ada pelajar yang mendakwa pernah ternampak bayangan perempuan melalui cermin berkenaan. 

Ada segelintir pelajar yang nakal bercakap besar kononnya mereka berani dan mahu meminta nombor ekor sekiranya berpeluang berjumpa dengan Melati. 

Keceluparan itu membawa padah apabila para pelajar terlibat menerima gangguan yang tidak dijangkakan seperti ditampar dan katil digoncang dengan kuat. 

Sejauh mana kebenarannya? 

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

LIKE,SHARE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close