Netizen di media sosial Vietnam berang selepas mengetahui pesalah seksual yang membabitkan seorang lelaki Estonian hanya didenda sebanyak 200,000 dong (RM35) kerana melakukan gangguan seksual terhadap wanita tempatan di Bandar Ho Chi Minh.
Lapor media tempatan, kejadian itu berlaku di sebuah bangunan pangsapuri di kawasan komuniti besar ekspatriat pada jam 8 malam, 11 Julai 2020.
Berdasarkan video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif, lelaki berusia 44 tahun itu memukul punggung wanita berusia 36 tahun yang dikenalinya itu, ketika mangsa keluar dari lif. Lelaki itu dikatakan melemparkan kata-kata berunsur penghinaan kaum.
Mangsa melaporkan kejadian itu pada suaminya yang kemudian menuntut lelaki biadab itu memohon maaf. Tetapi lelaki itu enggan berbuat demikian, malah menghina dan mengancam akan mencederakan pasangan itu.
Untuk pengetahuan umum, gangguan seksual bukanlah jenayah di Vietnam. Sebaliknya ia dianggap sebagai kesalahan kecil (berkelakuan tidak senonoh) di mana pelakunya hanya boleh dikenakan denda antara 100,000 (RM17.53) hingga 300,000 dong Vietnam (RM52).
Pada waktu kejadian, mangsa yakin lelaki itu tidak akan dikenakan tindakan dan melupakan hasratnya untuk membuat laporan polis. Namun, semenjak kejadian itu dia kerap terserempak dengan lelaki yang sama membuatkan dia mengambil keputusan untuk membuat laporan.
Setelah polis selesai menyelesai kes tersebut, lelaki terbabit diperintah untuk membayar denda sebanyak 200,000 dong Vietnam (RM35). Dia juga memohon maaf kepada mangsa dan berjanji akan keluar dari kediamannya.
Netizen di media sosial Vietnam tidak berpuas hati dengan keputusan pihak berkuasa yang hanya mengenakan denda terlalu kecil, lalu dijadikan sebagai bahan kutukan di seluruh negara dan kini merebak ke antarabangsa.
Difahamkan, Kementerian Keselamatan Awam Vietnam sebelum ini telah mencadangkan agar denda semasa bagi kesalahan seksual dinaikan kepada 3 juta hingga 5 juta dong Vietnam (RM522 - RM875). Tetapi sehingga kini, pindaan itu masih belum diluluskan. - Agensi
0 comments:
Post a Comment