Akibat Selalu Sangat Kongsi Gambar Anak Di Laman Sosial, Ini Risikonya… MENAKUTKAN !!!| KUALA LUMPUR: Keterujaan ibu bapa memuatnaik gambar anak mereka di media sosial boleh mengundang padah. Anak anda mungkin boleh terdedah kepada risiko bahaya dan jenayah seksual!
Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sendiri menyuarakan nasihat agar ibu bapa berhati-hati apabila berkongsi gambar-gambar anak kecil mereka di media sosial. Ini kerana ada kecenderungan pihak tidak bertanggungjawab untuk menyalahgunakan gambar-gambar tersebut. Gambar kanak-kanak di media sosial yang dikongsikan oleh ibu bapa mereka berpotensi menarik perhatian pemangsa seksual.
“Berdasarkan maklumat yang kita perolehi, gambar-gambar ini akan disalurkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke dalam laman web kumpulan pedofil, ” katanya merujuk kepada kumpulan pedofil tempatan yang terdedah di aplikasi mesej Telegram beberapa bulan lalu.
KUMPULAN PEDOFIL
Ibu bapa mungkin memuatnaikkan gambar anak mereka sebagai tanda kegembiraan tetapi gambar itu berkemungkinan dimuatkan dalam halaman kumpulan seks pedofil. Sebaik sahaja gambar kanak-kanak ini tersebar di media sosial dengan pesalah seks, ia akan menjadi sukar untuk mencari asal-usulnya.
Penulis suka juga berkongsi pendapat Noor Afidah Abu Bakar dari Parent Connect Consultancy mengenai pedofilia dan keselamatan anak-anak dalam blognya. Antara lain beliau menyentuh mengenai ciri-ciri pedofilia iaitu seorang dewasa atau remaja yang mempunyai kecenderungan dan keinginan seksual terhadap kanak-kanak.
Noor Afidah menarik perhatian pembaca blognya kepada pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin pada tahun 2007 dahulu.
Setelah 10 tahun berlalu, pedofil tersebut masih bebas dan ia membuktikan sekurang-kurangnya seorang pedofil tegar masih bebas di luar sana. “Dia mungkin adalah ‘friend Facebook kita, dia mungkin seorang ‘jaga’ di apartment kita, dia mungkin juga peniaga kantin sekolah anak kita dan sudah pastinya saudara-mara salah seorang daripada kita.
“Pelbagai kemungkinan,” catat Noor Afidah di dalam tulisannya bertajuk ‘Pedofila: Perlukah Kita Kisah? Banyak lagi tulisan serta teguran yang dihasilkan pelbagai pihak bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa, penjaga mahu pun guru-guru tadika atau sesiapa sahaja yang terlibat sebagai penjaga kanak-kanak.
AMBIL PENGAJARAN KES TERDAHULU
Dua kes hangat yang menggemparkan masyarakat di negara ini mengenai pedofilia tentunya kes Richard Huckle (2016)dan pelajar Malaysia yang menuntut jurusan Matematik di Imperial College London (2015). Huckle, warganegara Britain dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak termasuk di Malaysia.
Dikatakan kumpulan penyiasat menemukan lebih daripada 20,000 gambar lucah dan video kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan seksual Huckle. Lebih keji apabila koleksinya itu kemudiannya dikongsi ke seluruh dunia menerusi satu laman sesawang khusus untuk mereka yang sakit jiwa dan minda sepertinya.
Manakala penuntut Malaysia pula dihukum penjara lima tahun oleh Southwark Crown Court. Pelajar itu berusia 23 tahun ketika ditangkap, mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki, menghasilkan dan mengedar 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak bawah umur. Sebanyak 601 daripada jumlah itu adalah imej dan video kategori A, iaitu kategori ini membabitkan foto dan video memaparkan aktiviti persetubuhan dengan kanak-kanak.
JENAYAH SEKSUAL KANAK-KANAK
Minggu lalu (13-14 Mac 2017), Permata Negara menganjurkan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak:Hentikan! Seminar dua hari yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu menerima kehadiran kira-kira dua ribu peserta termasuk para panel yang membentang dan membincangkan topik yang amat serius ini.
Mendengar perkongsian dan pembongkaran kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, perasaannya sangat menghiris jiwa. Ada ketikanya tidak sanggup untuk terus mendengar apa yang dilalui oleh mangsa-mangsa yang naif itu.
Dalam kebanyakan kes yang dikendalikan pihak yang terbabit, kanak-kanak lebih mengalami trauma kerana perlu melalui banyak soal siasat daripada pihak polis serta pemeriksaan doktor semata-mata untuk mendapatkan bukti mereka telah menjadi mangsa.
Jenayah di Malaysia bagaikan bermusim. Seketika isu ini hangat, kita semua akan beringat. Seketika kemudian apabila ia surut, kita juga senyap tidak membuka mulut. Kita sudah ada Akta Kanak-kanak 2001 yang turut menyentuh mengenai kesalahan pornogafi dan persediaan kanak-kanak.
Namun Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Jenayah Seksual Kanak-kanak 2017 akan diperincikan lagi skop hukuman pelaku agar setimpal dengan kesalahan yang dilakukan mereka terhadap kanak-kanak. Semoga usaha negara untuk mewujudkan akta baharu bagi melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dilaksanakan secepat mungkin.
Kepada ibu bapa, tolonglah intai dan kawal penggunaan media sosial di kalangan anak yang sudah pandai mengenal telefon bimbit, internet dan pelbagai aplikasi sosial seperti Whatsapp, Facebook dan WeChat. Modus operandi pemangsa antaranya adalah melalui aplikasi-aplikasi ini. Kawal juga diri anda daripada memuatknaik gambar anak yang dirasakan mampu menarik minat kumpulan yang berfikiran songsang itu.
Pilihan sebenarnya di tangan anda. Anda mahu orang memuji kecantikan, kecomelan dan kecerdikan anak atau anda tidak dapat tidur malam apabila mendapat tahu gambar si anak menjadi bahan hiburan dan angan-angan si pedofilia yang berada entah di mana. Siapa tahu, mereka adalah di kalangan individu yang berhampiran atau yang kita kenali. Ini kerana ada laporan menyebut kira-kira 89 peratus kes membabitkan pelaku yang dikenali mangsa!
— Nurul Halawati Mohamad Azhari/BERNAMA Via AstroAwani
The post Akibat Selalu Sangat Kongsi Gambar Anak Di Laman Sosial, Ini Risikonya… MENAKUTKAN !!! appeared first on KISAH BENARKU.
0 comments:
Post a Comment