loading...
KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan Malaysia kesal dengan sikap sesetengah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mengambil mudah tentang pembayaran pinjaman pendidikan mereka, lapor Berita Harian.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ada sesetengah peminjam PTPTN berpendapatan RM10,000 sebulan tetapi masih mengekalkan ansuran bulanan RM50.
"Agak menyedihkan masih ada yang sudah bekerja dengan gaji RM5,000 hingga RM10,000 sebulan tetapi enggan membuat bayaran walau sedikitpun.
"Kes seperti ini sudah berkurangan semenjak PTPTN menjalankan tindakan penguatkuasaan, namun ia masih berlaku.
"Apabila gaji meningkat, mereka sendiri perlu meningkatkan bayaran," katanya.
Beliau menasihatkan mana-mana peminjam PTPTN yang belum bekerja atau mempunyai masalah untuk membuat pembayaran, boleh datang berbincang dengan pegawai PTPTN bagi mengelakkan mereka disenarai hitam selain sukar mencari kerja.
"Saya nasihatkan peminjam yang belum bekerja, datang berbincang kerana PTPTN menganggap selepas beberapa bulan peminjamnya tamat belajar, peminjam sudah bekerja.
"Jika sudah bekerja tetapi tidak mampu membayar mengikut jumlah yang ditetapkan, juga kena berunding berdasarkan kemampuan mereka.
"Contohnya, jika RM100 tidak mampu, bayarlah RM50, PTPTN fleksibel dalam cara pembayaran balik," katanya.
0 comments:
Post a Comment