loading...
Petir dan bunyi guruh berpanjangan yang berlaku petang Selasa lalu seperti yang ditularkan menerusi gambar dan rakaman video di media sosial adalah fenomena biasa.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Alui Bahari berkata, petir yang didakwa berlaku di Menara Berkembar Petronas (KLCC) bukan fenomena luar biasa kerana petir biasanya memanah objek yang tinggi.
"Berdasarkan pemantauan JMM, awan ribut petir kuat terbentuk di kawasan Lembah Klang sejak lewat petang sehingga ke lewat malam pada hari kejadian berkenaan.
"Kilat adalah sangat panas dan menyebabkan udara di sekitarnya mengembang dengan drastik sekali gus menyebabkan partikel udara bergetar dan seterusnya menghasilkan bunyi guruh sebaik sahaja kilat kelihatan," katanya dalam kenyataan kepada NSTP, hari ini.
Katanya, bunyi guruh yang panjang adalah disebabkan oleh gema atau pantulan bunyi itu daripada objek sekeliling seperti bangunan terutama bangunan yang tinggi.
Alui berkata, susulan kejadian itu, pihaknya sudah mengeluarkan Amaran Ribut Petir untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan daerah yang terbabit di Selangor pada jam 6.40 petang, 8.10 malam dan 11.05 malam.
"Semua maklumat mengenai amaran berkenaan boleh dilihat di laman web, aplikasi MyCuaca dan media sosial rasmi JMM yang dimuat naik setiap hari," katanya.
Kelmarin, tular di media sosial kejadian bunyi guruh yang kuat dan panjang di beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor, malah segelintir netizen mendakwa bunyi guruh berlaku tanpa henti selama 20 minit.
Fenomena itu dikatakan berlaku sepanjang kawasan Cyberjaya sehingga ke Puchong antara jam 7 hingga 7.30 malam sebelum disambung dengan panahan petir.
Susulan kejadian itu, beberapa netizen mula berkongsi gambar dan video antaranya gambar yang menunjukkan panahan kilat menyambar KLCC, jam 9 malam. - Harian Metro
BERITA BERKAITAN:
0 comments:
Post a Comment