Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung permit syarikat lori yang terbabit dalam kemalangan di Gerik, Perak pada Oktober lalu sehingga menyebabkan seorang ibu hamil mengalami keguguran.
Ketua Pengarah JPJ, Zailani Hashim berkata, tindakan tegas itu diambil selepas lori syarikat berkenaan gagal dalam Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) yang dilakukan oleh JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Selain itu, pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan tersebut, lesennya turut digantung selama lapan bulan.
"Keputusan menggantung permit syarikat lori berkenaan dibuat selepas mendapati kesalahan serius yang dilakukan oleh pemandu lori berkenaan dan kita gantung tidak kurang setahun atau lebih," katanya.
Semakan pihaknya juga mendapati pemandu lori terbabit pernah melakukan banyak kesalahan trafik dan mempunyai 10 notis saman. Namun kesemua saman itu telah dijelaskan.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan JPJ mengambil tindakan terhadap pemandu lori dan majikannya susulan berlaku kemalangan yang menyebabkan seorang wanita hamil keguguran.
Menurut suami mangsa, kemalangan itu berpunca dari kecuaian pemandu lori yang membawa muatan melebihi ketinggian sehingga menyebabkan tiga buah kenderaan lain dihempap muatan tersebut.
Sumber: Free Malaysia Today, Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment