loading...
Seorang tukang besi tergamak memukul kepala isterinya dengan seterika hanya kerana mangsa lambat membancuh air minuman.
Dalam kejadian jam 3 petang Isnin, di kediaman mereka di Taman Kerapu, Butterworth, suspek berusia 43 tahun memukul isterinya berusia 26 tahun dengan seterika sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berang dengan isterinya yang sibuk membuat kerja rumah sehingga terlambat membancuh minuman untuknya.
"Oleh disebabkan menunggu terlalu lama, suspek tiba-tiba mengambil seterika baju dan terus memukul isterinya hingga menyebabkan kecederaan di kepala," katanya.
Mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan teruk dan hanya calar di bahagian belakang kepala, dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Difahamkan, pasangan itu sudah berkahwin sejak lima tahun lalu dan dikurniakan dua orang anak.
Ekoran kejadian itu, mangsa terus membuat laporan polis kerana tidak tahan dengan sikap suaminya. Menurut mangsa, itu bukanlah kejadian pertama kali dan mereka selalu bergaduh akibat masalah tekanan hidup.
Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek jam 8.40 malam semalam dan turut merampas seterika yang digunakan oleh suspek memukul kepala mangsa.
Siasatan polis mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah.
Suspek direman selama empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
0 comments:
Post a Comment