Foto Borneo Post |
Siti Nuramira Abdullah membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan berkaitan menghina agama Islam.
Dia yang ditahan polis sejak Ahad lalu, memohon untuk dibicarakan atas pertuduhan tersebut.
Siti Nuramira didakwa melakukan kesalahan itu ketika membuat persembahan komediri dengan mengeluarkan kenyataan kontroversi di Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada 4 Jun.
Dia didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian dalam kalangan umat Islam, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya dua tahun dan tidak melebihi lima tahun.
Terdahulu, video Siti Nuramira membuka tudung dan menanggalkan baju kurungnya bagi menampilkan pakaian seksinya sambil mengeluarkan kenyataan yang tidak sopan sekali gus menghina agama Islam, tular di media sosial sehingga mengundang kecaman netizen.
Pihak Crackhouse Comedy Club KL pula mendakwa mereka tidak tahu Siti Nuramira akan bertindak sedemikian dan kini menganggap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung lesen operasi mereka sebagai satu tindakan sabotaj.
Namun di media sosial, majoriti netizen menggesa pihak berkuasa menutup premis tersebut yang dilihat tidak mendatangkan faedah dan menjadi pusat aktiviti yang boleh menjejaskan perpaduan kaum berikutan tiadanya halangan kepada pelawak membuat komediri secara bertapis sehingga ada yang berani mempersendakan bangsa Melayu dan Bumiputera secara terang-terangan.
0 comments:
Post a Comment