Walaupun sudah memohon maaf di atas perbuatan melakukan video prank menarik tudung, YouTuber Nick Channel berterusan dikecam netizen kerana ada yang mendakwa permohonan maaf tiga individu terbabit tidak menampakkan rasa kesal mereka.
Malah, ada yang mendakwa mereka cuba menegakkan benang yang basah dan mempersendakan maruah wanita Muslimah, serta memperdayakan penontonnya kononnya dia tidak mengenali dua wanita terbabit.
BACA: 'Aku tarik tudung perempuan!' - YouTuber dikecam buat prank calarkan maruah wanita bertudung
Nick Channel pada permohonan maaf pertamanya semalam mengaku mengenali dua wanita bertudung berkenaan yang juga merupakan kenalannya sendiri. Video prank itu telah dirancang bagi melihat sendiri reaksi netizen sama ada memberi penilaian positif atau negatif.
"Video dah viral, penjelasan pun telah dibuat tetapi ada yang kata tak kukuh. Dua wanita dalam video itu adalah kawan saya dan mereka berlakon dalam video prank itu. Sebenarnya mereka berdua ini tidak bertudung.
"100 peratus netizen mengecam saya mempermainkan agama Islam. Okay, memang. Kalau diikutkan, di hujung video prank itu saya sepatutnya meletakkan penjelasan tetapi saya tidak berbuat demikian sebab ini adalah content saya yang pertama, serta saya nak tengok dan menilai bagaimana netizen akan mengecam saya," katanya.
Jelas Nick, dia mahu melihat bagaimana apakah orang Melayu akan mempertahankan agama Islam dan menjaga maruah muslimah. Selepas video tersebut tular, dia dapat melihat ramai netizen memberi reaksi yang mengikut kemahuannya.
"Kami hanya buat content, realitinya saya mengenali mereka berdua dan bukannya saya menyasarkan individu yang tidak dikenali.
"Walaupun kecaman-kecaman itu membuatkan saya terasa, tetapi hasilnya memberikan makna kepada saya dan faham bagaimana orang Melayu kita masih berpegang kepada agama Islam. Itu yang membuatkan saya tabik sangat-sangat.
"Saya minta maaf dengan content yang telah dibuat. Saya juga meminta maaf kepada golongan wanita muslimah dan kepada netizen di luar sana saya harap boleh menerima video penjelasan kedua ini," katanya.
Nick bersetuju dengan netizen bahawa contentnya adalah sampai. Namun dia lebih mengetahui apa yang dilakukannya dan mengulangi skrip yang sama bahawa dia mahu melihat reaksi netizen. Nick juga berharap netizen memahami apa yang dia cuba ingin sampaikan kepada umum.
Dalam pada itu juga, Nick mengakui dia juga akan marah sekiranya prank tersebut berlaku kepada ahli keluarganya sendiri.
"Tipulah kalau cakap tak marah, sebab dalam realiti kalau ia terjadi kepada keluarga saya, memang saya akan marah sebab perbuatan itu teruk. Tetapi dalam hal ini, saya yang menerbitkan video itu bersama dua kenalan ini dan untuk mendapat reaksi netizen," ujarnya.
Ditanya mengenai komen netizen yang mahu berjumpa dengannya untuk memberi 'pengajaran', Nick menjelaskan dia tidak ada masalah untuk berjumpa dengan sesiapa, malah tidak takut untuk berdepan dengan mereka.
"Bagi saya, tiada masalah. Kalau nak cari saya, cari saja. Saya tak takut sebab kita ada undang-undang. Kalau mereka pukul saya, saya boleh buat laporan polis. Kemudian mereka juga akan dikenakan tindakan.
"Sebab apa, saya dah mengkaji content ini. Kalau ada yang membuat laporan berhubung content yang saya terbitkan, polis tidak akan mengambil laporan itu kerana ini cuma content yang telah dirancang.
"Saya juga berterima kasih kepada netizen yang memberi komen, pendapat dan kecaman kerana semua itu boleh memberi motivasi kepada diri saya sendiri," katanya.
Sumber: Nick Channel
0 comments:
Post a Comment