Semalam, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti UMNO masih dicemari budaya rasuah meskipun bekas presiden UMNO, Najib Razak dipenjarakan.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, budaya rasuah yang berleluasa dalam parti itu sangat kritikal sehingga ke peringkat akar umbi dan rakyat perlu menolak UMNO secara keseluruhan di Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 daripada kembali berkuasa.
Kenyataan Mahathir itu mengundang rasa tidak puas hati Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarikh Khan, yang meminta Mahathir berhenti dari terus memburukkan UMNO.
Tegas Zahida, era politik acuan Mahathir sudah berakhir dan kini adalah era anak muda celik politik yang boleh mendapatkan maklumat di hujung jari.
"Yang nak disampaikan adalah UMNO hanya akan suci sekiranya Tun jadi pencatur, UMNO ikut telunjuk Tun dan anak-anak Tun selamat berada di pucuk pimpinan UMNO. Sekali gus menjamin anaknya sebagai perdana menteri.
"Cukup-cukuplah Tun, ini zaman kami. Zaman anak muda makin celik politik, bukan zaman Tun lagi.
"Bukan zaman sebar surat layang dihimpit dengan batu di masjid ketika solat Jumaat, bukan zaman video tape (VHS), bukan juga zaman VCD. Segala info di hujung jari," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya hari ini.
Dalam pada itu, Zahida turut mengingatkan Mahathir, sebusuk-busuknya UMNO di mata bekas perdana menteri itu, parti itulah yang mendokong dia selama 22 tahun di tampuk kuasa.
"Sebusuk-busuk UMNO di mata Tun, tiada seorang pemimpin UMNO yang berjaya mengkayakan anak-anak hingga bergelar 'billionaire'.
Sumber: MalaysiaKini
0 comments:
Post a Comment