Foto Zainah Misdin | The Sun Daily |
Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Ampang semalam atas pertuduhan membunuh bayinya berusia enam bulan, lapor Harian Metro.
Tertuduh, Zainah Misdin, 34, bagaimanapun hanya mengangguk faham dan tidak membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di No 32, Jalan Seladang 2, Kampung Klang Gate, Hulu Langat, pada jam 7.40 malam, 23 Ogos 2022.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi individu yang masih bebas, bagi mencapai niat bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian.
Bagi kesalahan itu, Zainah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Swinder Singh.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan Mahkamah kemudian menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan semula kes.
2 INDIVIDU TAMPIL, TEGASKAN SI IBU BUKAN PEMBUNUH
Sementara itu, tampil dua individu di media sosial yang mengaku sebagai saudara kepada tertuduh, sekali gus menafikan tanggapan orang ramai kononnya tertuduh membunuh bayinya sendiri.
Menurut Pi Kah, "Saya saudara kepada ibu mangsa ingin memberitahu, si ibu ditahan sebab kes dituduh, bukan sebab dia membunuh ataupun mendera. Dia mempunyai tiga anak dan dia memang seorang yang penyayang, serta berhati baik.
"Ini cuma dituduh, bukan dia yang melakukannya. Harap maklum dan mengerti," tegasnya.
Seorang lagi individu mengatakan, "Awalnya mangsa dijaga oleh bapanya. Masa itu si ibu ada di tempat kerja bersama anak pertama. Di rumah pula, anak kedua dan ketiga (mangsa) berada di rumah bersama bapanya.
"Si ibu mendapat panggilan dari suaminya kira-kira jam 6.30 petang yang memaklumkan keadaan mangsa sangat lemah. Apabila si ibu pulang ke rumah, dia mendapati mangsa berpeluh satu badan, penuh dengan kesan muntah dan sawan.
"Mangsa kemudian dibawa ke hospital dan setelah menjalani imbasan x-ray, doktor mengesahkan mangsa mengalami pendarahan otak dan tiada harapan untuk hidup.
"Bapa mangsa telah melarikan diri tanpa diketahui sebabnya. Jadi, ibu mangsa ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kami belum dapat surat dari hospital tetapi memang doktor kata bukan kes dera dan berkemungkinan disebabkan kecuaian. Minta doakan untuk ibu mangsa ya. Terima kasih," katanya.
0 comments:
Post a Comment