Tanggal 31 Januari 2014, saya pasti tidak dapat melupakan tarikh ini sampai bila-bila. Malam itu, saya berseorangan pulang ke Besut. Meninggalkan Tuah Sujana dan Musafir Ilmu berdua di Kuala Terengganu. Saya bertolak lewat, dalam kira-kira pukul 11.30 malam.
Dalam perjalanan, saya sakit perut yang amat sangat. Dan saya terus membelok mencari surau berdekatan. Dan yang saya jumpai surau di Wakaf Tembusu. Apabila saya sampai, kedengaran bunyi salakan anjing. Saya memberanikan diri sendiri dengan membawa lampu suluh. Selepas keluar tandas, saya teringat bahawa saya perlu menunaikan solat Jamak Takhir Maghrib dan Isyak. Saya pun terus menunaikan solat di ruang luar surau. Surau itu berkunci. Ketika solat, di hadapan saya seakan-akan ada tangan yang melambai dan benda yang bergerak di hadapan. Hati saya tidak keruan, namun saya teruskan solat.
Seusai solat, saya mengambil lampu suluh dan menghalakan tempat yang saya nampak tangan yang melambai tadi. Astagfirullah, rupanya ada gelandangan di sudut surau. Pakaian cukup aneh sekali, dengan pakaian seperti seorang pemesin rumput, lengkap dengan ” mask ” dan sarung tangan. Tidurnya beralaskan kotak-kotak yang disusun rapi. Dia sedikit terganggu dengan lampu suluh yang saya halakan.
” Sah dia orang tak betul nie” bisik hati saya.
Kemudian, ketika saya singgah di Petronas berdekatan untuk mengisi minyak kereta, tergerak di hati saya untuk membelikan sedikit makanan kepada gelandangan di surau tadi. Sekadar memohon maaf kerana saya telah menggangu tidurnya.
” Assalamualaikum Pak Cik, nie saya bagi roti dan air mineral pagi esok. Makan ye. Maaf ye tadi pak cik kacau tidur” kata saya sambil meletakkan roti Gardenia dan air mineral Mesra di tepinya.
” Terima kasih , nak. Alhamdulilah, jazakalllah” balasnya.
Saya terkejut. Saya salah sangka pada pak ini awalnya.
” Balik mana nak?
” Balik Besut pak cik”
” Bawa kereta elok elok malam-malam, jalan gelap”.
Saya tersentuh. Betapa pak cik itu masih mampu mendoakan perjalanan seorang musafir seperti saya.
” Nama pak cik apa? saya Shafiq”
” Oh Shafiq. Nama pak cik, Abdul Rasid. Pak cik tumpang tidur dekat surau nie”
” Kenapa pak cik tumpang tidur sini.?”
” Pak cik berniaga minyak angin rata-rata. Tue motor pak cik. Pak cik kalau datang sini, nie lah tempat bermalam pak cik”
Saya tersentak. Betapa hidup seorang golongan marhaen seperti pak cik ini amatlah perit.
” Pak Cik, kenapa pakai macam baru lepas mesin rumput ye pak cik?”
” Oh, nie tak nak bagi nyamuk ketik. Kat sini nyamuk banyak”
” Kenapa tak pakai je Fumakilla?. Saya boleh tolong belikan”
” Tak usahlah nak, pak cik tak tahan asap dia”
Saya terharu.
” Pak cik, saya minta diri dulu ye. Maaf kacau tidur”
” Tak mengapa nak. Dekat sini tak hidup mana kariah surau nie. Surau berkunci. Kalau ada pun solat jemaah, Isyak sahaja. Subuh pak cik sembahyang sorang-sorang sahaja”.
Saya meninggalkan Pak Cik Rashid dengan seribu tanda persoalan. Sepanjang perjalanan pulang, saya memikirkan nasibnya. Bagaimana dia bersusah payah mencari sesuap rezeki, barangkali untuk anak-anaknya di rumah nanti. Melihat keadaan hidupnya, air mata saya mengalir perlahan.
Dalam perjalanan pulang, betul-betul jiwa saya berkecamuk. Dan di minda saya , saya hanya mampu teringat pada lirik lagu Ramli Sarip ” Perjalanan Ini” .
” Manusia itu sebetulnya pengembara!”
Rupanya, ada persamaan antara pak cik dan saya. Ya,kami sama-sama bermusafir di atas Muka bumi pinjaman tuhan, walaupun caranya yang berbeza.
Barangkali Allah sedangkan menguji saya, dengan membeli harga sebuah kemanusian, menerusi kisah seorang tua dan surau usang!
-Apai Sigat-
– Apai Sigat
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 comments:
Post a Comment