Foto Harian Metro |
Keberanian seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun bermain basikal lajak di lebuh raya mengundang padah apabila dia merempuh sebuah kenderaan yang diparkirkan di tepi jalan. Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Saad Zainuddin, 28, kehilangan kaki kiri dan lumpuh dalam kejadian yang berlaku pada 10 Ogos 2008.
Muhammad Saad yang kini berusia 28 tahun bagaimanapun mahu bangkit untuk mengubah nasib dirinya dan memulakan hidup baharu serta melupakan tragedi yang menyebabkan dia lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan kaki kirinya dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman.
Dia kini mahu menumpukan kepada perniagaan keluarganya yang menjual pelbagai jenis makanan di Jalan Yahya Awal, sejak lebih 20 tahun lalu.
Menurut Muhammad Saad, dia mula terjebak dengan aktiviti basikal lajak sejak berusia 11 tahun gara-gara terpengaruh dengan trend basikal lajak yang sedang popular pada ketika itu. Dia sanggup mengumpul duit upah membantu ibu bapanya berniaga agar dapat membeli barangan terpakai bagi mengubahsuai basikalnya menjadi basikal lajak.
Awalnya dia hanya bermain di laluan kampung berhampiran rumah dan tidak beberapa lama kemudian, dia dan rakan-rakannya mula bermain di jalan utama di sekitar bandar Johor Bahru termasuk di lokasi yang mengorbankan lapan remaja berbasikal lajak pada 2017.
"Keberanian itu akhirnya membawa padah pada 10 Ogos 2008 ketika saya berusia 14 tahun. Ketika menunggang basikal lajak di Jalan Lingkaran Tengah itu bersama tiga lagi rakan, basikal ditunggang merempuh sebuah kenderaan yang sedang diparkir di tepi jalan itu.
"Ia menyebabkan saya mendapat kecederaan parah iaitu terkoyak di kepala selain pengsan di lokasi kejadian yang tidak sampai 150 meter dari tempat kejadian lapan remaja basikal lajak yang maut.
"Saya hanya tersedar apabila sedang dirawat di hospital. Doktor mengesahkan saya lumpuh dari bahagian pinggang akibat kecederaan serius pada tulang belakang," katanya.
Muhammad Saad mengakui, tidak tidak dapat menerima hakikat apabila doktor memaklumkan dia mungkin akan lumpuh seumur hidup. Lebih-lebih lagi kaki kirinya juga terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman, membuatkan dia hilang semangat untuk hidup.
Hal itu membuatkan dia mengalami kemurungan selama tiga tahun dan trauma untuk keluar murah. Mujur sokongan dari keluarga dan rakan membuatkan dia kini berazam untuk memulakan hidup baru.
"Saya kini ditugaskan menjaga kaunter di kedai makan diusahakan keluarga. Apabila bekerja sepenuh masa seperti ini, saya mula mendapat semangat baru dan mahu melupakan episod hitam yang melanda hidup saya," katanya.
Justeru, Muhammad Saad berharap golongan remaja yang terbabit dalam aktiviti itu berhenti dari memnbahayakan diri dan pengguna jalan raya lain serta menjadikan kisahnya sebagai pengajaran.
"Ambil iktinbar kisah saya yang kini lumpuh dan hilang upaya. Lupakanlah basikal lajak, keseronokan hanya sementara. Jika terbabit kemalangan, kita akan merana seumur hidup. Pengalaman yang saya lalui ini bukan membanggakan, ia cukup pahit dan menyakitkan, namun menginsafkan," katanya.
Sumber: Harian Metro
0 comments:
Post a Comment