Seorang ibu tunggal tidak menyangka, percubaannya membuka gerai nasi lemak di tepi Jalan Sentul Pasar sejak 3 Januari lalu, mendapat sambutan ramai.
Sharifah Nurul Hamirah Syed Mohd Hamzi, 30, berkata, ada juga pelanggannya dari luar kawasan, contohnya dari Genting Highlands dan Perak, sanggup menempuh perjalanan jauh demi mencuba nasi lemak yang dijualnya.
Lebih luar biasa, ada pelanggan yang sanggup berbelanja besar untuk menampung kos penghantaran nasi lemaknya ke Putrajaya, Cyberjaya, Klang, Shah Alam dan lain-lain kawasan di Lembah Klang kerana tidak dapat datang ke gerainya.
Ibu kepada dua anak itu mengakui dia amat terharu dengan sambutan luar biasan itu, lebih-lebih lagi selepas video dirinya mempromosi nasi lemaknya di TikTok tular di media sosial.
Walau bagaimanapun, Sharifah tidak menafikan ada juga menerima komen-komen negatif yang mendakwa jualannya laku disebabkan paras rupanya yang cantik.
"Saya akui memang ada suara negatif. Misalnya, muka cantik memanglah ada orang beli. Kalau makcik (yang jual) mesti tak laku. Malah ada juga yang cakap, tak malu ke muka cantik jual (nasi lemak) tepi jalan?
"Bagi saya, cantik itu bonus. Apa yang penting adalah niat saya berniaga mahu mencari rezeki halal untuk dua anak saya dan keluarga kerana besar tanggungjawab saya sebagai anak sulung," katanya.
Sebelum tular, nasi lemaknya hanya mampu dijual sebanyak 200 bungkus. Tetapi selepas ditularkan, jualan hariannya meningkat kepada 700 bungkus.
Menggulas mengenai perniagaan kecilnya itu, Sharifah seawal jam 4 pagi telah bangun untuk memasak dan menyediakan bahan jualan sambil dibantu oleh adik-beradik dan ibu bapanya.
Nasi lemak yang dibuat itu juga menggunakan resepi keluarga dan dimasak dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang, serta hanya dijual dengan harga RM1.50 sebungkus.
"Kami hanya jual sebungkus RM1.50 kerana memang niat saya berniaga sambil bersedekah. Tetapi walaupun murah, kualiti tetap diutamakan. Itu juga pesanan mak saya, supaya rezeki bertambah berkat dan luas," katanya.
Menurut Sharifah lagi, dia selalu menjadi tumpuan ramai disebabkan penampilannya yang sopan, selain keramahannya melayani pelanggan yang datang membeli nasi lemak.
"Setiap hari saya akan menggayakan pakaian tradisional supaya sedap mata orang memandang. Saya tak nafikan ada soalan nakal atau pelawaan berkahwin kerana ramai mengetahui status ibu tunggal saya. Namun saya tetap menjaga batas dan menetapkan niat hanya untuk mencari rezeki," ujarnya.
Sharifah tidak menolak sekiranya ada pelanggan lelaki yang mengajak untuk bergambar bersama, namun dengan syarat menjaga batasan. Tetapi tidak dengan lelaki yang sudah berkahwin kerana tidak mahu dipandang serong dan mendapat kemudaratan di kemudian hari.
Sumber: Harian Metro
0 comments:
Post a Comment