Beberapa hari lalu, tular di media sosial video atlet bola tampar ditampar oleh jurulatihnya dalam kejadian 16 Disember 2022, semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) B-14 2022 bagi kategori perempuan, pasukan Melaka menentang Johor di sebuah sekolah di Johor.
Dalam video berdurasi 21 saat itu menunjukkan, dua atlet terbabit ditampar oleh jurulatih pasukan Melaka yang menyebabkan pasukan itu kehilangan mata sebelum tempoh rehat permainan.
Meskipun diperlakukan secara kasar, kesemua pemain terbabit tidak memberikan reaksi terkejut dan masih memberi perhatian kepada arahan yang diberikan oleh jurulatih.
Insiden itu mengundang perhatian Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang masing-masing meluahkan rasa kesal dan mahu kejadian itu disiasat serta tindakan dikenakan terhadap jurulatih terbabit.
Ekoran kejadian itu, jurulatih berkenaan telah digantung daripada membabitkan diri dalam semua aktiviti sukan bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai dijalankan.
"KEJADIAN ITU BIASA SAJA SEBAB ANAK KAMI TAK CEDERA"
Bagaimanapun, reaksi mengejutkan dari ibu bapa pelajar terbabit yang dilaporkan telah memaafkan jurulatih berkenaan. Malah, mereka menganggap kejadian itu sebagai biasa sahaja.
"Kalau nak ambil tindakan, kami sudah buat laporan polis pada hari pertama kejadian. Tetapi kami anggap kejadian itu biasa saja kerana anak kami tidak cedera," kata Abd Halim Bakar, 50, bapa kepada pemain bola tampar Bawah 14 tahun Melaka, Nur'saidatul Akma, 14.
Difahamkan, Abd Halim sekeluarga telah memaafkan jurulatih berkenaan dan berharap isu itu tidak diperbesarkan lagi oleh mana-mana pihak kerana jasanya jurulatih itu yang dikenali sebagai Cikgu Hadee, dalam membangunkan sukan bola tampar di Melaka amat besar.
"Dia berjaya mencungkil bakat dan melatih dua anak perempuan kami sejak sekolah rendah hingga menengah. Dia dah menyumbang banyak dalam menaikkan nama Melaka. Takkan kerana kesalahan kecil ini nak jatuhkan atau tutup periuk nasinya hingga mungkin kelab bola tampar ini tiada lagi.
"Saya lihat dia bangunkan pasukan bola tampar ini dalam keadaan sukar. Bukan saja guna wang sendiri, malah terpaksa menumpang padang di beberapa tempat untuk berlatih kerana tiada gelanggang kekal.
"Dua anak perempuan saya berjaya mewakili Melaka dalam acara bola tampar dan menang tempat keempat bawah 14 dan 16 tahun," katanya.
"KITORANG PUN TAK MINTA DIBERI KASIHAN DARIPADA ORANG LUAR"
Sementara itu, Twitter Malacca Volleyball Club (MVC) turut menggesa semua pihak berhenti menularkan itu tersebut kerana mereka amat menyayangi dan sentiasa berdiri teguh menyokong jurulatih berkenaan.
"Henti viralkan isu ini kerana kami sayang coach kami. Biarkan kami yang menilai baik dan buruknya. Kami sentiasa berdiri teguh di belakang coach kami dan pasukan kami kerana kami pasukan Melaka," tegas pengendali Twitter tersebut.
Menjawab soalan netizen, MVC menjelaskan perbuatan itu bukan kerap dilakukan oleh jurulatih mereka, malah apa yang berlaku di dalam video tular itu adalah di luar kawalan.
MVC menegaskan, mereka berani mempertahankan Cikgu Hadee kerana perkara itu telah diselesaikan dengan ibu bapa atlet terbabit dan orang luar tidak wajar mencampuri urusan mereka, sedangkan mereka tidak meminta simpati daripada orang luar.
"Backup kerana berani, bersuara sebab benda ni dah lama settle dengan ibu bapa masing-masing. Tindakan dan amaran pun telah diambil. Perlu ke orang luar yang tiba-tiba menghina tanpa sebarang perkenalan?
"Kitorang pun tak minta diberi kasihan daripada orang luar. Benda dah settle pun boleh jadi isu," kata MVC.
Sumber: Harian Metro, Twitter Malacca Volleyball Club
0 comments:
Post a Comment