Gara-gara bermain api di timbunan sampah berhampiran rumah, seorang kanak-kanak lelaki melecur di badan sebelah kanan dari bawah ketiak hingga paha.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu, di Kampung Parit Kuchi, Pontian.
Perkara itu terbongkar selepas pengadu yang juga rakan kepada ibu mangsa mengetahui kejadian itu dan terus membuat laporan polis.
Difahamkan, pengadu terdahulu ternampak gambar mangsa menerusi kumpulan WhatsApp keluarga kenalannya itu. Mangsa berusia sembilan tahun itu tidak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan dibiarkan di rumah tanpa sebarang rawatan. Pengadu kemudian menasihatkan pasangan suami isteri berkenaan membawa mangsa ke hospital.
Pengadu turut membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan pasangan terbabit kerana mengabaikan anak mereka begitu sahaja tanpa mendapatkan rawatan. Ketika laporan dibuat, keadaan luka yang dialami mangsa semakin teruk dan sudah mula berbau.
Bertindak di atas maklumat, polis bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik saja tiba, mereka mendapati mangsa berada di luar rumah dalam keadaan tidak berpakaian untuk dibawa ke hospital oleh keluarganya.
Pemeriksaan pihak perubatan di Hospital Pontian mendapati, terdapat kesan terbakar dan melecur di bahagan kanan badan hingga ke kaki, lengan kiri,kedua-dua paha dan telinga kanan.
Menurut ibu mangsa, semasa kejadian itu berlaku dia berada di dalam rumah dan terdengar bunyi letupan di luar lalu dan ternampak kelibat mangsa berlari dalam keadaan baju dan seluarnya terbakar menuju dan terjun ke dalam parit di hadapan rumah.
Bapa mangsa kemudian membantu memadamkanapi di baju mangsa dan membawanya masuk ke dalam rumah. Pasangan itu hanya sekadar membeli ubat tahan sakit dan ubat sapu di farmasi untuk merawat luka mangsa.
Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Susulan kejadian itu, pasangan suami isteri terbabit yang berusia 33 dan 36 tahun telah ditahan pada jam 2 pagi semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment