Seorang peniaga kek meluahkan rasa kesal di media sosial kerana dihubungi oleh pelanggan di pagi buta semata-mata mahu membuat tempahan kek.
Siti Nur A'shikin Sadikun, 38, dari Tampin berkata, pelanggan terbabit menghubunginya pada jam 3.46 pagi hanya kerana mahu membuat tempahan kek.
"Deringannya panjang dan bila tidak dijawab, dia cuba menghubungi nombor saya sekali lagi. Panggilan itu membuatkan saya terkejut dan terus bangun dari tidur.
"Saya ingatkan ada hal kecemasan, kematian atau panggilan mustahak daripada keluarga. Tetapi bila tengok WhatsApp, pelanggan itu bertanya adakah saya membuat kek?" katanya.
Siti mengakui dia terkilan dengan sikap pelanggan itu yang tidak beragak menghubunginya sehingga menyebabkan waktu tidurnya terganggu.
Insiden itu kemudian dikongsikan di media sosial sebagai peringatan dan pengajaran kepada yang lain agar tidak melakukan kesilapan seumpama itu, selain menghormati privasi peniaga yang keletihan selepas seharian berniaga.
"Peniaga juga manusia biasa. Jika WhatsApp saja tiada masalah dan saya memang biasa menerima mesej pada awal pagi. Kita perlu tahu adab dengan orang," katanya.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment