Seorang remaja perempuan di China terpaksa melutut dan merayu pada wanita warga emas untuk mengembalikan wang 200 yuan (RM130) yang dikutip dari jalan raya kerana wang itu adalah miliknya yang tercicir.
Lapor Mothership, kejadian itu berlaku di Guangzhou, wilayah Guangdong, selatan China dan video kejadian itu pantas menular di media sosial negara itu. Sejak dimuat naik, jumalah tonton video tersebut meningkat melebihi 30 juta tontonan.
Berdasarkan video, mangsa yang memakai pakaian sekolah dilihat menangis dan merayu agar wang miliknya dikembalikan. Tetapi warga emas terbabit enggan berbuat demikian dan berkata, "Siapa yang jumpa, dialah yang punya duit itu".
Berang mendengar kata-kata itu, rakan mangsa pula tampil membantu dan menggesa warga emas berkenaan untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.
Kejadian itu turut disaksikan oleh orang awam yang berjalan berdekatan. Tetapi tiada seorang punya datang membantu.
"Ini betul-betul salah, nenek ini langsung tak nak kembalikan duit budak itu. Saya nampak dia kutip duit itu dan nak tak nak kena pulangkan balik duit dia," kata perakam video.
Juga kedengaran beberapa orang awam meminta mangsa menghubungi ibu bapanya untuk meminta bantuan.
Menurut mangsa, 200 yuan itu adalah elaun mingguan yang digunakan untuk perbelanjaan harian kerana ibu bapanya bekerja di bandar lain, sementara dia tinggal bersama datuk dan neneknya.
Setelah puas didesak, warga emas itu akhirnya memulangkan wang tersebut. Namun tindakannya itu sudah terlambat, netizen tetap mengkritik sikap tidak bertanggungjawabnya.
Sumber: Mothership
0 comments:
Post a Comment