Seorang wanita berusia 26 tahun di Kalimantan Barat ditemui mati di bawah jambatan dengan kesan luka yang dipercayai berpunca dari tetakan senjata tajam.
Sebelum kejadian, mangsa pada petang 5 Februari lalu ada memaklumkan kepada keluarga bahawa dia mahu keluar untuk mengambil wang yang dikirimkan oleh suaminya yang bekerja di luar negeri.
Namun sehingga jam 8 malam, mangsa masih belum pulang membuatkan keluarganya mula bimbang dan mula mencarinya di sekitar perkampungan itu.
Jam 11.30 malam, keluarganya dimaklumkan mangsa telah ditemui tidak bernyawa di bawah jambatan yang tidak beberapa jauh dari rumah mereka.
Ketika ditemui, ada kesan luka tetakan di bahagian leher. Turut ditemui motosikal milik mangsa, manakala dompet dan telefon bimbitnya hilang. Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis.
Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek yang juga merupakan bapa saudari kepada suami mangsa.
Suspek mengaku membunuh isteri kepada anak saudaranya itu kerana mangsa meminta suspek bertanggungjawab di atas kehamilannya.
Ternyata selama ini, mangsa dan suspek menjalinkan hubungan sulit sehingga menyebabkan mangsa hamil. Ketika mangsa meminta suspek bertanggungjawab, suspek menolak dan bertindak membunuh mangsa.
Sebelum berjaya ditahan polis, suspek kerap berpindah bagi mengelakkan dirinya ditahan polis. Suspek memberitahu keluarganya dia pergi ke bandar untuk mencari kerja. Tetapi sebenarnya suspek pergi ke daerah lain dan merancang untuk melarikan diri.
Sumber: Kompas
0 comments:
Post a Comment