'Allahuakbar! Remuk hati Ummi tengok keadaan Maryam' - Ibu dakwa anak alami kecederaan akibat kecuaian pengasuh di taska ternama

loading...



Seorang bayi perempuan berusia setahun diserang secara fizikal oleh anak-anak asuhan lain ketika ditinggalkan dalam sebuah bilik tanpa pengawasan pengasuh dalam kejadian yang berlaku pada awal Januari 2023. Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan yang turut meninggalkan kesan-kesan cedera dan lebam di badannya.
 

Menurut ibu kepada mangsa, anaknya baru sahaja dihantar ke taska tersebut dan tidak menyangka perkara buruk itu akan menimpa anaknya yang masih kecil. 


Difahamkan, pada hari pertama dihantar ke taska itu, Maryam dikatakan berada dalam keadaan baik dan teruja masuk ke taska berkenaan. Namun pada sebelah petang, Maryam menangis dan kelihatan tertekan. Ibunya cuba bersangka baik dan menyangka Maryam memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di tempat baru.


Hari kedua, anaknya masih kelihatan sama dan apabila pulang ke rumah, mereka menyedari ada kesan merah di bahagian pergelangan tangan. 


Hari seterusnya, pengasuh memaklumkan kepada pengadu bahawa ada kesan lebam dan luka di bahagian tangan Maryam yang berpunca daripada gigitan anak asuhan lain semasa pengasuh keluar sebentar untuk mengambil barang. 






"Ya Allah, kaki rasa lemah masa tu. Ummi dan Abah terus drive ke taska nak ambil Maryam. Sampai di taska, Maryam nampak lemah sangat, kami terkejut melihat keadaannya. Rupa-rupanya bukan tangan kiri sahaja ada luka dan lebam, malah di bawah telinga, pipi, belakang tapak tangan, tangan kanan juga ada kesan gigitan, cakar serta cubit. Dunia rasa seperti gelap seketika," katanya. 


Curiga melihat keadaan Maryam, pasangan itu kemudian meminta untuk melihat tempat kejadian. Sebaik ditunjukkan keadaan bilik, mereka terkejut melihat keadaan bilik (isolasi) yang kecil dan tiada apa-apa di dalamnya. Apatah lagi tiada floor mat, toto, mainan, buku, hiasan dinding dan sebagainya.


"Saya pijak lantai itu rasa sejuk sangat sebab taska itu ada pendingin hawa. Pengasuh pun pakai selipar, tetapi anak-anak asuhan dibiarkan baring dan duduk di atas lantai sejuk. Ya Allah, sampainya hati. 


"Saya tanya mereka ini bilik apa? Kenapa letak Maryam dengan budak-budak lain di dalam bilik ini dan sudah berapa jam mereka berada di dalam bilik ini? 


"Pengasuh itu kata bilik itu adalah bilik isolasi. Ya Allah, masa tu rasa nak menjerit pun ada. Kenapa letak anak-anak dalam bilik isolasi sedangkan Maryam sihat walafiat?





"Pengasuh dengan mudahnya menjawab, anak asuhan berusia 1-2 tahun ditempatkan sementara di bilik tersebut pada waktu petang kerana tidak mahu maengganggu anak asuhan lain yang sedang tidur," katanya. 


Penjelasan itu membuatkan ibu mangsa tidak berpuas hati kerana alasan yang diberi itu tidak masuk akal. Ibu mangsa yang dipercayai telah mendapat bantuan daripada pihak polis untuk membuat pemeriksaan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, Maryam bersama beberapa kanak-kanak lain sememangnya diletakkan di bilik isolasi sejak dari pagi. 


Dalam video juga jelas menunjukkan anak-anak asuhan dibiarkan menyusu di atas lantai tanpa alas mahupun bantal. Malah, semasa pengasuh tidak berada dalam bilik itu, Maryam telah digigit, dicubit beberapa kali oleh anak-anak asuhan lain. 


"Dalam CCTV, Maryam terbaring lemah atas lantai. Sampai sekarang saya dan suami masih tertanya-tanya berapa kali sebenarnya pengasuh meninggalkan mereka di dalam bilik itu sehingga menyebabkan Maryam diserang sehingga mengalami kecederaan teruk seperti itu. 


"Dan paling kecewa cara pengasuh melayan Maryam, hanya Allah sahaja yang tahu," katanya. 




Disebabkan kejadian itu, Maryam mengalami pendarahan hidung dibawa ke hospital untuk mendapatan rawatan.


"Malam itu Maryam menangis-nangis, mungkin sakit atau trauma. Pipinya masih merah tak surut-surut. Selepas selesai membuat laporan polis dan pulang ke rumah, hidung Maryam berdarah dan cepat-cepat bawa dia ke hospital sebelum dirujuk ke Bahagian ENT untuk siasatan lanjut. 


"Maryam turut dirujuk kepada pakar kanak-kanak kerana mengalami kesukaran untuk tidur, mudah terjaga malam, menangis kuat dan pernah beberapa kali cuba menggigit abangnya," katanya. 


Ibu mangsa kecewa, taska yang kononnya gah dan pernah memenangi anugerah dengan pengalaman berpuluh tahun itu tetapi menempatkan anak-anak asuhan di dalam bilik yang kecil tanpa kelengkapan mencukupi. 


Ibu bapa mangsa kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap taska berkenaan. Namun hasrat itu mungkin terpaksa dipertimbangkan kerana ia menelan kos yang tinggi. 


"Bila kami jumpa pelbagai pihak, mereka nasihatkan kami untuk ambil tindakan terhadap pihak taska. Tetapi perkara itu menelan kos yang tinggi dan baru saya faham mengapa ramai ibu bapa yang pernah melalui hal ini, akhirnya senyap dan redha," katanya. 


Walaubagaimanapun, mereka akan cuba mendapatkan bantuan daripada pihak yang sudi membantu bagi menuntut keadilan untuk Maryam dan pihak taska itu dikenakan hukuman sewajarnya. 


Sumber: Facebook

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

LIKE,SHARE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close