Tindakan memuat naik dan menyebarkan kandungan berunsur lucah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.
Sehubungan itu, beliau menasihati agar semua pihak lebih berhati-hati dalam memuat naik atau berkongsi kandungan yang tidak wajar bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang.
"Kalau kita merujuk Akta Multimedia dan Komunikasi Seksyen 233, memang ada menyatakan bahawa penggunaan tidak wajar, kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian memang satu kesalahan contohnya kandungan lucah, kandungan menyakitkan, mengugut menganggu orang lain dan sebagainya.
"Kalau seseorang memuat naik kandungan (sedemikian) (menerusi) media sosial, ia memang merupakan salah satu penggunaan tidak wajar dan boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Komunikasi Tindakan Setempat (Komtis) dan Majlis Berbuka Puasa di Balai Raya Felda Bukit Batu, di Kulai, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan individu yang memuat naik dan menyebarkan video pasangan muda yang melakukan perbuatan jelik di dalam kereta, sehingga tular di media sosial, baru-baru ini.
Teo, yang juga Ahli Parlimen Kulai itu berkata pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memberi kerjasama dengan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti individu yang memuat naik kandungan tidak wajar tersebut.
Katanya, jika didapati bersalah, pihak berkenaan boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Khamis lepas, seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang gadis berusia 17 tahun ditahan kerana dipercayai melakukan perbuatan jelik dalam sebuah kenderaan di Taman Kota Masai, setelah video mereka tular.
Mereka yang dipercayai pasangan kekasih itu kemudiannya direman selama dua hari, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara polis meneruskan siasatan kes untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment