Ramai pelajar lepasan SPM tak nak sambung belajar sebab nak jadi influencer, kejar kemewahan & dunia glamour

loading...



Kehidupan mewah dan kerjaya yang glamor dipercayai antara penyebab ramai anak muda, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terpukau dengan karier sebagai pempengaruh sehingga sanggup mengetepikan pendidikan di peringkat lebih tinggi.


Hakikatnya, kerjaya itu yang belakangan ini dilihat menjadi dambaan ramai remaja belasan tahun, belum tentu dapat menjamin masa depan mereka. Pada masa sama, keputusan golongan pelapis modal insan ini boleh mendatangkan risiko kekurangan tenaga kerja mahir dan profesional kepada negara.


Bernama dalam artikel pertama isu ini, mendedahkan hanya 51 peratus daripada 1,000 responden lepasan SPM berusia 18 hingga 20 tahun mahu melanjutkan pelajaran, sementara 39 peratus memilih untuk bekerja dan baki 10 peratus langsung tiada perancangan.


Kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI pada Mac lepas itu mendapati mereka yang tidak melanjutkan pelajaran memilih menjadi influencer atau pempengaruh dan affiliate (rakan sekutu) media sosial (34 peratus), ekonomi gig seperti e-panggilan (26 peratus), memulakan perniagaan (22 peratus) dan baki lapan peratus lagi tidak ada sebarang perancangan tentang masa depan mereka.


Menurut pempengaruh popular di TikTok, Namie atau nama sebenarnya Najmi Shahrudin, 27, menjadi pempengaruh sepenuh masa bukan satu kerjaya yang boleh dirancang pada usia muda.


Beliau yang telah hampir tiga tahun bergelar TikToker dan kini turut menceburi dunia seni tanah air sebagai pelawak, berkata remaja, khususnya lepasan SPM yang ingin menyertai bidang itu, tidak harus melakukannya secara terburu-buru.


"Walaupun kita tahu hala tuju kita, jangan buat keputusan secara terburu-buru. Sebaliknya perlu ada perancangan dan strategi.


"Saya sebelum ini merupakan seorang guru, tetapi pada masa sama turut membuat kerja-kerja sebagai influencer. Selepas kukuh mencipta nama dalam kerjaya itu barulah saya membuat keputusan mengubah kerjaya dengan menjadi influencer sepenuh masa," katanya.


Mengulas mengenai isu ini, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Zainal Madon berkata menjadi pempengaruh adalah kerjaya yang memenuhi kehendak jiwa anak muda yang inginkan glamor, kemasyhuran dan memperoleh pendapatan lumayan dengan mudah dan pantas.


Tidak dapat disangkal, gaya hidup yang ditonjolkan oleh pempengaruh menerusi akaun media sosial mereka merupakan antara faktor lepasan SPM terbabit ingin menceburi bidang itu.


"Melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi mula dianggap sebagai perkara biasa oleh sebilangan pelajar selain ada yang melihat lulus universiti bukan jaminan mendapat pekerjaan yang baik. Ini antara faktor ramai lepasan SPM khususnya, tidak mahu meneruskan pengajian ke menara gading," ulas beliau.


Dalam pada itu, pakar psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Mohd Azhar Mohd Yasin merumuskan faktor yang menyumbang kepada keengganan lepasan SPM menyambung pendidikan sebagai 3P (Pelajar, Pelajaran dan Persekitaran).


"Dari segi pelajar, selalunya disebabkan diri sendiri. Kita tahu sekarang ini ada pelajar dari awal lagi tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran berbanding permainan dalam talian dan telefon pintar.


"Kedua, pelajaran. Proses pembelajaran itu sendiri mungkin bagi mereka (lepasan SPM) bukan satu proses yang menyeronokkan selain menyedari lulus SPM ataupun universiti tidak menjamin mereka mendapat pekerjaan yang setimpal.


"Sebab ketiga persekitaran, iaitu apabila banyak peluang pekerjaan seperti e-panggilan, pempengaruh yang digambarkan sebagai menjana pendapatan yang banyak, membuatkan mereka terpengaruh untuk turut menyertai bidang tersebut," katanya.


Pandangan serupa turut dikongsikan oleh pakar psikologi daripada Universiti SEGi, Prof Dr Datin Mariani Md Nor yang berkata kerana inginkan 'hasil' yang lebih cepat, anak muda lepasan SPM cenderung memilih pekerjaan sedemikian.


"Dalam keadaan dunia sekarang, kita lebih kepada keadaan yang serba mudah. Contohnya, dalam bidang pekerjaan biasa, seseorang perlu mengikuti proses pembelajaran selama tiga hingga empat tahun bagi mendapatkan kelayakan yang seterusnya membantu mereka menjawat jawatan lebih tinggi dan gaji lebih lumayan.


"Namun, ketika ini mereka melihat tanpa pendidikan tinggipun sudah mampu meraih pendapatan dan ganjaran yang tinggi," katanya.


Walau bagaimanapun, lepasan SPM terbabit mungkin akan menyambung pendidikan mereka sekiranya kerjaya sebagai pempengaruh atau dalam sektor e-panggilan kurang berjaya, kata Mariani.


"Ibu bapa memainkan peranan sangat penting memotivasikan anak mereka, sama ada untuk meneruskan pengajian tinggi atau memastikan anak mereka terus mendapat perkara yang diperlukan.


"Memang ibu bapa tidak boleh membuat perancangan untuk anak-anak tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat memainkan peranan penting bagi memastikan anak mereka berjaya dalam kehidupan," katanya.


Dalam pada itu, pegawai psikologi di Pusat Pembangunan Karier, Universiti Kebangsaan Malaysia-Karier (UKM-Karier), Alyaa Insyirah Huzili berpandangan tidak salah golongan berkenaan memilih kerjaya sebagai pempengaruh atau e-panggilan, namun perlu diberikan bimbingan oleh mentor yang telah berjaya.


"Pelajar tersebut perlu dibantu sekiranya dia mahu menjadi influencer dengan bantuan mentor. Ini penting kerana mentor dapat membantu mereka mencari hala tuju dan merancang kerjaya tersebut dengan lebih jelas.


"Mungkin tidak selamanya mereka akan menjadi influencer atau e-panggilan, namun sekiranya mereka dibantu membina jaringan kerja, golongan ini boleh mencari pekerjaan lain yang lebih kukuh dari segi ekonomi," katanya.


Bagi lepasan SPM Ariff Farhan Zulkarnain, 18, yang kini bekerja sebagai penghantar makanan, dia memutuskan untuk bekerja kerana ingin membantu abangnya menyara keluarga mereka.


Anak kedua daripada lima beradik itu berkata dia harus berkongsi tanggungjawab dengan abangnya bagi menyara keluarga selepas ayah mereka tidak lagi mampu bekerja kerana sakit tua.


"Penat memang penat, tambah pula dengan cuaca yang tidak menentu sekarang, tetapi saya buat perkara ini (bekerja hantar makanan) untuk keluarga," katanya.


Ariff Farhan turut berkongsi pengalamannya menjadi penghantar makanan pada umur 16 tahun dengan menyewa akaun penghantar makanan daripada pelajar lebih tua di sekolahnya.


"Secara 'halal' (sebagai penghantar makanan), saya baru lagi… tidak sampai sebulan. Selepas habis kertas terakhir peperiksaan SPM, saya terus mohon jadi penghantar makanan. Sebelum ini, saya pernah juga menghantar makanan ketika masih belajar dengan menggunakan akaun 'senior'…dia ambil (sewa) dalam RM30 sehari," katanya.


Seorang lagi lepasan SPM, Muhammad Adam Danial Mohd Zamrie, 18, tidak bersetuju dengan pandangan rakan sebaya yang memilih menjadi pempengaruh berbanding menyambung pendidikan.


"Terdapat kebarangkalian mereka tidak berjaya meraih populariti yang diinginkan, selain mereka perlu ada rupa menawan dan berbakat. Oleh itu, lebih baik untuk mereka mengejar pelajaran dahulu," katanya.


Pandangannya turut disokong oleh Norshuhada Zainol Abidin, 18, yang kini bekerja secara sementara di sebuah kilang selepas menamatkan peperiksaan SPM baru-baru ini.


"Pelajaran penting kerana dapat menjadikan seseorang itu berilmu, mempunyai akhlak terpuji dan matang dalam menyelesaikan sesuatu perkara," katanya.


Sumber: Bernama

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

LIKE,SHARE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close