Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai disambar petir ketika sedang menggunakan telefon bimbit untuk berbual dengan rakannya, semalam.
Lapor Utusan, kejadian itu berlaku pada jam 4.50 petang di Kampung Baru Sungai Raya Luar, di Gua Musang, Kelantan. Mayat mangsa, Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi, 12, murid Sekolah Kebangsaan Kuala Betis, ditemui terbaring di dalam bilik tidurnya dengan kesan terbakar di bahagian lengan.
Menurut bapa mangsa, M. Nor Zawawi Awang, 45, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja selesai menunaikan solat Asar di surau berdekatan dengan rumahnya dan terdengar bunyi dentuman petir yang kuat.
M. Nor Zawawi kemudian dimaklumkan oleh isterinya bahawa, anak keempat dari lima beradik itu tidak sedarkan diri di tempat tidur dengan tangan kanannya masih memegang telefon bimbit. Apabila diperiksa, terdapat kesan melecur pada tangan kanan mangsa dan kesan terbakar di tilam.
Mangsa terus dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kuala Betis untuk mendapatkan rawatan, namun pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.
0 comments:
Post a Comment