Foto hiasan sahaja | Freepik |
Baru-baru ini Mahkamah di China membuat keputusan kontroversi dengan memerintah seorang wanita membayar 3.79 juta yuan atau RM2.4 juta kepada isteri kekasihnya kerana hubungan mereka tidak diiktiraf oleh undang-undang.
Difahamkan, si isteri terdahulu memfailkan saman terhadap perempuan simpanan suaminya dan menuntut dia memulangkan semua harta benda yang telah diberikan oleh suaminya sepanjang tempoh perhubungan mereka.
Pada akhir perbicaraan, mahkamah membuat keputusan yang menyebelahi si isteri dan memerintah perempuan simpanan terbabit membayar ganti rugi 3.79 juta yuan kepada isteri kekasihnya.
Menurut dokumen yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rakyat Zhuanghe di Liaoning, timur laut China, plaintif iaitu Li dan suaminya, Wang, telah mendirikan rumah tangga sejak 1991.
Pada 2008, Wang mula menjalinkan hubungan dengan perempuan simpanan yang dikenal pasti sebagai Xiaoxia. Setelah beberapa tahun berlalu, hubungan itu diketahui oleh Li selepas dia mendapati Wang sering menghantar sejumlah wang kepada Xiaoxia.
Wang mengakui dia menjalinkan hubungan sulit dengan Xiaoxia dan memberitahu dia juga mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 tahun dengan wanita itu.
Bukti yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan Wang telah memindahkan 1.47 juta yuan atau RM966,981 kepada Xiaoxia antara 2013 dan 2020, selain membeli dua pangsapuri bernilai 1.45 juta yuan (RM953,762) dan juga menghadiahkan sebuah kereta bernilai 870,000 (RM572,295).
Xiaoxia bagaimanapun berhujah bahawa dia tidak pernah mengetahui Wang telah berkahwin dan wang yang diterima dari lelaki itu selama ini menjadi nafkah untuk anak. Tetapi mahkamah berkata, kes ini adalah mengenai pemilikan aset dan bukannya mengenai nafkah anak.
Undang-undang China menyatakan, mana-mana pihak dalam sesebuah perkahwinan tidak boleh membelanjakan harta bersama pasangan itu tanpa persetujuan pihak lain. Memandangkan Li tidak pernah memberi persetujuannya untuk 'hadiah' Wang, Xiaoxia kini perlu memulanglah sejumlah 3.79 juta yuan kepada isteri kekasihnya.
Mahkamah memberitahu, Xiaoxia mempunyai pilihan sama ada mahu memfailkan kes berasingan dan menyaman wang untuk nafkah anak, tetapi hubungan mereka sehingga kini tetap bercanggahan dengan adat awam.
Sumber: Oddity Central
0 comments:
Post a Comment