#Kaklang: Permulaan

loading...

Assalamu’laikum dan selamat sejahtera. Aku Hulk Koko. Disini aku ingin bercerita tentang kisah hitam yang menghantui keluarga aku selama bertahun-tahun. Dan ini merupakan post pertama aku, atau lebih layak dipanggil ‘repost’, since cerita aku ni dulu dah pernah dipublish tetapi ada sedikit masalah teknikal sehingga para readers tak boleh nak baca. 404 page not found katanya. Jadi, aku amat berterima kasih kepada admin Fiksyen Shasha sekiranya publish cerita aku yang agak tak setanding dengan karya-karya SiCelupar, DeeFen, Rusydi Ahmad dan lain-lain penulis yang berbakat kalau nak dibandingkan dengan cerita aku ni. Tapi aku harap readers semua enjoy penulisan aku ni dan aku telah cuba sedaya upaya memuaskan hati kalian sepertimana aku inginkan kepuasan ketika membaca cerita-cerita disini. So, lets begin.
…………………………………….
“Erghhh, erghhh”, suara seakan-akan nafas tersekat di kerongkong kedengaran datang dari arah bilik kaklang. Tercungap-cungap kaklang mencari nyawa di ruang biliknya seorang diri. Ummi dan baba yang menyedari kejadian itu segera membawa kaklang ke hospital. Jam 1 pagi, kereta dipandu baba meluncur laju masuk dalam perkarangan hospital dan terus menuju ke wad kecemasan. Hampir 30 minit kaklang berada di wad kecemasan menyedut gas bagi melancarkan kembali perjalanan oksigen didalam tubuhnya. Sementara menunggu kaklang, tiba-tiba ummi disapa oleh doktor yang bertugas pada malam itu.

“Assalamu’alaikum makcik.”, doktor muda itu mulakan perbualan dengan memberi salam.

“Wa’alaikumsalam, ya doktor. Anak saya dah boleh keluar ka?”, ummi menyambut salam doktor itu sambil bertanyakan keadaan kaklang.

“Eh, tak. Belum boleh keluar. Saya saje nak ajak makcik berborak kejap.”, balas doktor tersebut didalam loghat selatan.

“Oh yaka, boleh ja. Awat doktor?”, jawap ummi sambil dipandang oleh baba yang sedang duduk bersandar berzikir diatas bangku ruang menunggu.

“Macam ni makcik. Tadi mase saya rawat anak makcik, saya rasakan anak makcik ni bukan kena asma, sebab bunyi orang kena asma berbeza dari bunyi yang anak makcik keluarkan. Sepanjang saya merawat pesakit asma, belum pernah saya jumpa pesakit yang keluarkan bunyi macam ni. Agak pelik lah. Jadi, saya nak tanya lah dekat makcik, anak makcik ni ada sakit lain tak selain asma ni?”, terang doktor itu.

“Seingat makcik, anak makcik ni tak ada sakit lain dah kecuali asma ni saja la doktor.”, balas ummi.

“Oh, macam tu ye makcik. Takpe, saya akan diagnos penyakit anak makcik ni nanti. Terima kasih makcik.”, jawap doktor itu semula.

Ummi hanya mengiyakan kata-kata doktor tersebut walaupun ummi berasa agak aneh dan curiga dengan kata-kata doktor muda itu, kerana ummi yakin kaklang sering diserang penyakit asmanya sedari zaman kanak-kanak lagi. Ummi cuba tidak hiraukan pada awalnya tetapi berat hati ummi mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Ummi berjalan menuju kearah baba sebelum duduk disebelah kanan baba.

“Doktor tu sembang apa dengan mas?”, baba pula yang bertanya kepada ummi sambil mengerutkan keningnya.

Ummi cerita semula kepada baba seperti yang doktor itu ceritakan kepada ummi sebentar tadi. Baba hanya sekadar mengangguk sambil jarinya ligat mengira biji tasbih berkali-kali.

“Makcik!”, jerit doktor tadi.

“Ya doktor, awat?”, jawap ibu dengan pantas.

“Anak makcik dah boleh ‘discharge’.”, balas doktor itu semula.

“Oh, baik-baik. Sat na, makcik pi ambik dia.”, beritahu ummi.

Ummi dan baba bingkas bangun dan terus menuju kearah wad yang menempatkan kaklang. Setelah selesai urusan kaklang, perlahan kaklang dipapah masuk kedalam kereta untuk dibawa pulang. Nafas kaklang juga sudah kembali stabil seperti biasa. Seusai berterima kasih kepada doktor dan staff nurse yang merawat kaklang, tiga beranak itu pun beredar dari perkarangan hospital dan terus pulang ke rumah. Kejadian ini diceritakan semula oleh ummi kepada aku pada keesokan paginya sambil ummi menyidai pakaian di luar rumah kerana saat perkara ini berlaku, aku sedang terbongkang tidur sambil melayan mimpi-mimpi syahdu. Aku hanya mampu ternganga mendengar cerita dari ummi, sebab memang aku tak sedar langsung pasal benda ni pada malam tu. Mungkin aku sungguh-sungguh menikmati alam seindah fatamorgana tu kot. Nasib baik tak mimpi masuk tandas.

Tak lama kemudian jiran kami yang hanya berselang dua buah rumah, jalan menuju ke rumah untuk bersembang dengan ummi selepas nampak ummi sidai baju di ampaian. Pada awalnya, macam biasalah ayat mukaddimah makcik-makcik ni.

“Aiii, tengah sidai baju ka tu, mas?”, Makcik Nora hadiahkan buah sulong sebelum masuk ke isu-isu semasa hal ehwal masyarakat. Hampir 30 minit ummi dan Makcik Nora bersembang bab ikan temenung mahal, udang dipasar saiz kecil-kecil, santan makin mahal dan macam-macam bab lagi yang aku tak rela nak ambil port pun nak dengar, sampailah ummi buka cerita pasal kaklang semalam. Masa ummi cerita ni aku dah mula kembali pasang telinga gajah untuk dengar perbualan mereka. Ummi cerita pada Makcik Nora sama seperti yang ibu ceritakan kepada aku termasuk perbualan ummi dengan doktor di hospital tersebut pada malam itu. Sejurus sahaja ummi habis bercerita, terus sahaja Makcik Nora mencadangkan buah fikiran kepada ummi untuk membawa kaklang ke pusat rawatan Islam sebagai rawatan pilihan alternatif.

“Cuba mas bawa kaklang tu pi berubat dengan rawatan Islam. Dekat Taman Syurga Yang Tak Dirindukan ada satu pusat perubatan Islam tau. Dulu kak nora pun ada sakit-sakit juga. Pi check dekat hospital, doktor kata tak ada sakit apa pun. Lepastu kawan pejabat kak nora cadang suruh pi dekat ustaz yang buat rawatan tu, untuk check tengok kot-kot ada sakit lain yang kita taktau sebab tak nampak di mata kasar kita ni, kan?”, cadang Makcik Nora.

Ummi yang nampak resah ketika bercerita tadi kelihatan berminat dengan cadangan Makcik Nora untuk bawa kaklang ke sana, tetapi ummi hanya ingin sekadar untuk mencuba dan melihat sekiranya benar ataupun tidak kata-kata Makcik Nora itu. Ummi mula bertanyakan tempat tersebut dengan lebih terperinci kepada Makcik Nora. Kemudian, mereka kembali meneruskan perbualan tentang hal-hal lain yang langsung tidak menarik perhatianku untuk mendengar. Lalu, aku beransur perlahan masuk ke dalam rumah untuk melayan anime Jepun Inazuma Eleven di siaran NTV7.

Jam terus berdetik dari satu angka ke satu angka sehinggalah bulan perlahan-perlahan bersinar didalam kepekatan malam, cengkerik dan unggas pula mula mengambil tempat dalam acara siulan paling bingit dan sumbang. Kedengaran bunyi enjin motor kapcai 110cc baba itu baru pulang dari masjid. Selepas baba memberi salam dan masuk kedalam rumah, ummi datang bawakan dulang berisi se-jug air teh untuk dihidangkan bersama biskut mayat. Sambil-sambil kami empat beranak menikmati hidangan tersebut, ummi menyatakan hasratnya kepada baba untuk bawa kaklang ke pusat perubatan yang Makcik Nora ceritakan pagi tadi. Baba yang sememangnya sentiasa cool itu benarkan saja ummi bawa kaklang kesana. Kaklang? Dia terpaksa akur dengan cadangan ummi. Aku pula acah-acah tak hiraukan mereka dengan menonton rancangan di televisyen sambil mencicah biskut mayat dengan air teh susu pekat ummi, walhal aku telah siap-siap stanbykan telinga kuasa cuping gajah untuk mendengar perbualan mereka.

Hari selasa selepas asar kami tiga beranak tiba di tempat yang Makcik Nora ceritakan. Baba tak dapat sertai kami kerana kata baba dia ada hal mustahak di tempat kerjanya. Dengan langkah kanan kami mula menapak ke rumah kedai setingkat itu dari lot parking. Ummi kelihatan biasa, begitu juga kaklang yang tidak menunjukkan sebarang reaksi aneh walaupun tempat rawatan tersebut berbau wangi seakan haruman kasturi. Ketika kami sampai, ada beberapa pesakit lain yang sedang dirawat. Jadi, kami perlu tunggu sebentar sebelum kaklang dipanggil untuk gilirannya.

Hampir 30 minit juga kami menunggu sebelum tiba giliran kaklang. Kaklang dipanggil masuk ke sebuah bilik sederhana kecil yang khas disediakan untuk sesi rawatan. Kaklang kelihatan sedikit gemuruh berbanding tadi. Ummi juga hampir sama reaksinya seperti kaklang sambil menggemgam tangan aku. Sebelum ustaz itu memulakan rawatan, sempat dia bertanya soalan-soalan lazim yang biasa ditanya, seperti nama siapa, tinggal dimana, kenapa datang merawat dan macam-macam lagi soalan yang banyaknya dijawap oleh ummi. Ummi jujur memberitahu ustaz itu bahawa tujuan kami datang kesitu adalah sekadar ingin memeriksa keadaan kaklang dan bukan berniat hendak dirawat secara serius kerana ummi ketika itu langsung tidak tahu kondisi sebenar kaklang dan tidak menyangka akan terjadi hal-hal lain. Mendengar kata-kata ummi, ustaz itu hanya tersenyum seraya berkata,

“Kita tengok sat lagi. Kalau dia menjerit bila saya pegang ibu jari kaki dia, ada la tu tak kena dekat mana-mana”.

Ummi hanya mengangguk tanda faham. Lantas,ustaz yang mesra disapa sebagai Ustaz Ishak itu, dengan pantas membaca potongan ayat-ayat suci al-Quran sambil memegang hujung ibu jari kaki kaklang. Dengan tidak semena-mena, kaklang menjerit sekuat alam bagai hendak tercabut anak tekak dari kerongkongnya. Tersentak dengan jeritan itu, ummi juga turut menjerit perlahan kerana terkejut mendengar jeritan nyaring kaklang, sambil tangan ummi memeluk erat lengan aku. Apabila Ustaz Ishak lepaskan ibu jari kaklang, kaklang berhenti menjerit tetapi bila disentuh sahaja ibu jari kakinya, meronta-meronta kaklang minta dilepaskan seperti ada sesuatu yang melukakannya. Hairan kami dibuatnya. Bagaikan ada aliran elektrik yang mengalir dan meresap masuk kebawah kulit-kulit kaklang, langsung membuatkan dia berasa sakit. Bukan itu sahaja yang memeranjatkan kami, bahkan ada lagi perkara yang lebih memeranjatkan aku dan ummi ,iaitu suara jeritan itu bukan lagi kedengaran seperti suara kaklang yang aku kenal, tetapi ia mirip suara seorang perempuan tua yang sudah berusia puluhan tahun, bahkan beratus! Walaupun jeritannya nyaring tetapi jelas kedengaran bunyi tuanya itu.

Kelopak mata ummi mula merembeskan air mata. Butir-butir air jernih sudah mula menitik sedikit demi sedikit sebelum laju menuruni dan membasahi pipinya. Tidak tahan lagi sebak dek kerana terseksa melihat anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang meraung dan meronta-ronta minta dilepaskan bagaikan seorang tahanan penjara yang diseksa hidup-hidup. Kaklang duduk bersila membongokkan badan. Matanya terpejam rapat tetapi pergerakannya seolah-olah dia melihat dengan baik. Bibirnya pula menjuih kehadapan seperti mencebek. Hodoh sangat. Muka kaklang juga sudah hilang serinya. Memang keadaan kaklang amat menakutkan dan menyedihkan. Biadap betul makhluk halus itu.

Hampir beberapa minit situasi seperti bermain tarik tali itu, akhirnya berlaku dialog diantara Ustaz Ishak dengan jin yang merasuk kaklang.

“Assalamu’alaikum.”, Ustaz Ishak mulakan bicaranya.

“Wa’alaikumsalamm.”, salam disambut perlahan oleh jin itu.

“Kamu siapa? Kenapa datang mengganggu budak ni?”, tanya UstazIshak tegas.

“Akulah!”, tengking jin itu.

“Sebutlah nama, baru kami tau hang siapa.”, ummi mencelah sambil cuba menahan sendunya.

“Aku dah lama duduk dalam budak ni. Hi hi hi. Nanti hampa tau lahh.”, sinis sahaja jawapannya.

“Aku lapaq, aku nak makan! Dah lama tuan aku tak jamu aku makan.”, sambung jin itu.

“Hang nak makan apa?”, soal Ustaz Ishak untuk mengumpan jin itu.

“Aku nak makan ayam panggang, telur rebus, pulut kuning.”, jawap jin itu teruja.

“Hang keluaq dulu dari budak ni, baru kami bagi hang makan.”, sekali lagi Ustaz Ishak cuba mengumpan jin itu.

“Hampa bohonggg!! Aku takmau keluaq. Aku nak budak ni, aku sayang diaa.”, jin itu berjaya menepis umpan dari Ustaz Ishak.

“Ustaz, tarik buang saja lah dia ni. Kesian kaklang tuu.”, pujuk ummi agar jin itu ditarik keluar.
“Baik, in shaa Allah.”, balas Ustaz Ishak. “Aku bagi pilihan, hang nak keluaq sendiri atau aku paksa tarik hang keluar. Lebih baik hang keluaq sendiri, kalau aku buat sat lagi, sakit hang.”, ugut Ustaz Ishak.

“Aku dah kata, aku takmau keluaqq. Hampa semua ni bodohh ka, ishh bodohnyaa!!”, jin itu menghamburkan makian kepada kami.

“Baik, kalau macam tu, aku paksa tarik hang keluaq!”, keras suara Ustaz Ishak menengking jin itu.
Bibir Ustaz Ishak mula terkumat-kamit membaca ayat ruqyah bagi memanaskan jin itu untuk memaksa dia keluar. Maka terjadilah pergelutan diantara “kaklang” dan Ustaz Ishak. Kaklang yang tadi lembik tak bermaya berubah bagaikan panglima perang menyerang Ustaz Ishak sambil mulutnya tak henti-henti membodohkan kami. Habis disepak terajangnya ustaz itu. Ummi dan aku pantas memegang tangannya untuk menolong Ustaz. Sudahnya, aku pula yang ditempelengnya. Celaka betul jin keparat itu. Bermacam cara Ustaz Ishak cuba memujuk jin itu supaya keluar secara berhemah setelah letih beradu tenaga fizikal dengannya.Kali ini diumpannya dengan telur rebus yang dihidang dihadapannya juga tidak menjadi. Jin itu tersangat degil sehingga memaksa Ustaz Ishak untuk bertindak lebih agresif meskipun jelas Ustaz Ishak bagaikan tidak cukup nafas melawan jin itu. Akhirnya jin itu menyerah dan berjanji untuk keluar kerana dia sudah tidak tahan menanggung sakit apabila dipukul dengan ayat-ayat suci al-Quran.

“Aku nak keluaq, aku nak keluaq. Dah la bodoh, sakit hang tau dak?”, jerkah jin degil itu.
“Ohh, baqu nak keluaq, tadi aku suquh keluaq cara elok takmau dengaq. Ni dah sakit baru nak keluaq. Haa cepat, nak keluaq ikut mana? Aku nak tarik.”, balas Ustaz Ishak tercungap-cungap kepenatan.

“Aku bohong jaa, HAHAHAHAHA!”, kata jin itu sambil ketawakan Ustaz Ishak.
Ustaz Ishak mula berang. Merah padam wajahnya kali ini kerana marah dengan helah yang dikenakan oleh jin tersebut keatasnya.

“Kali ni aku takkan biarkan hang main-main lagi. Kurang ajaq hang jin mempermainkan aku. Hang tunggu!”, jerkah Ustaz Ishak.

Ustaz Ishak mulakan sekali lagi bacaan ruqyahnya, tetapi kali ini dia membaca tanpa henti walaupun berguling-guling kaklang diatas lantai menjerit kepanasan. Rasakan! Jeritan keras jin itu langsung tidak dihiraukan oleh Ustaz Ishak walaupun dia meronta seakan-akan diseksa dengan kejam akibat dari mencabar ayat-ayat suci al-Quran. Aku dan ummi terus memegang kaklang biarpun tenaga kami berdua langsung tidak setanding dengan tenaga kaklang yang entah datang dari mana luar biasa kuat itu. Ustaz itu masih membaca ruqyah sehinggalah kaklang berasa mual hendak muntah. Ustaz Ishak menepuk-nepuk di kawasan belakang dada kaklang sebelum dia muntahkan air liur kosong didalam plastik beg berwarna hitam. Kaklang berhenti meronta. Tubuhnya kembali ringan berbanding tadi yang beratnya hampir seberat 5 orang lelaki dewasa meskipun dia bertubuh kecil.

Wajah kaklang kembali berseri-seri, bahkan serinya berganda dari sebelum ini. Tidak ada lagi rupa orang tua yang menjengkelkan. Ummi mengukir senyuman tanda gembira setelah melihat kondisi kaklang yang telah sembuh. Ustaz Ishak memanggil nama kaklang berulang kali untuk memastikan kaklang benar-benar telah sedar.

Ummi menyangkakan episod hitam yang berlaku kepada kaklang telah berakhir selepas kaklang muntahkan muntahannya itu. Rupa-rupanya, sangkaan ummi jauh tersasar. Mimpi ngeri disiang hari itu bukanlah sebuah pengakhiran, bahkan itu baru titik permulaan permainan makhluk halus yang bernama jin itu. Sudah sekian lama dia bertapak dan bersarang didalam tubuh badan kaklang. Entah sudah berapa generasi keturunannya beranak-pinak jin itu didalam badan kaklang. Namun, disebabkan dia pandai menyembunyikan diri, perkara ini tidak dapat dikesan. Jadi, inilah hikmah dan rahsia Allah hantarkan doktor muda di hospital pada malam kaklang sesak nafas itu, dan juga jiran kami Makcik Nora, untuk membongkar rahsia yang selama ini secara ghaib memakan diri kaklang perlahan-lahan.

Bermula pada saat itu, secara tidak rasmi jin itu telah menzahirkan dirinya untuk terus-menerus menganggu dan merosakkan kehidupan keluarga kami. Bukan sahaja kami diganggu, bahkan hubungan antara saudara-mara juga retak akibat dari perbuatan jahat jin ini, yang sememangnya hadir untuk memusnahkan kehidupan anak-anak Adam ‘alaihis salam.

Rentetan dari kisah kaklang ini akan membuka lebih banyak pintu-pintu kehancuran didalam keluarga besar aku yang akan diceritakan pada episod-episod akan datang.

-Hulk Koko

The post #Kaklang: Permulaan appeared first on Fiksyen Shasha.

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

LIKE,SHARE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close